Bismillahirrahmanirrahim…
Berkat doa, kesabaran, kejujuran, semangat setiakawan dan niat untuk meneruskan legasi Allahyarham Dato’ Meor Abdul Rahman (“ADMAR”), Pertubuhan Gayong Amerika Malaysia (USGF Malaysia) semakin memperkukuhkan kewujudannya. Semangat untuk memartabatkan Silat Seni Gayong di mata dunia telah memangkinkan kelahiran USGF Malaysia Kebangsaan (Pusat) serta 5 cawangan yang telah berjaya didaftarkan di Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (“ROS”) iaitu Kedah, Melaka, Negeri Sembilan, Selangor dan Perak.
Bertitik tolak dari pengalaman pahit manis mempekenalkan budaya Melayu di perantauan serta perkembangan USGF Malaysia di peringkat negeri-negeri yang semakin pantas, maka, keperluan penjenamaan semula (“re-branding’ exercise) untuk menjadikan Pertubuhan ini lebih ‘Malaysia’ dan ‘Melayu’ harus dilakukan. Ini ‘bak sirih pulang ke ganggang’ memandangkan Silat Seni Gayong ini asal tapaknya di Tanah Melayu hasil warisan jiwa dan raga daripada Mahaguru ADMAR, maka, rohnya perlu kembali ke alam Melayu.
Kalau tak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.
Maka, tepat pada tanggal 6 Oktober 2021, dengan rasmi tertubuhnya PERTUBUHAN SENI GAYONG BERSATU (“PSGB”) atau di dalam Bahasa Inggeris dikenali sebagai UNITED SENI GAYONG FEDERATION (‘USGF”). PSGB didaftarkan dengan No. Pendaftaran: PPM-028-06102021 dengan berstatus “Kebangsaan Bercawangan”. Pendaftaran pertubuhan baru ini secara langsung memadamkan kewujudan Pertubuhan Gayong Amerika Malaysia (USGF Malaysia) yang sering disalah ertikan oleh segelintir anak-anak Gayong sebagai sebuah pertubuhan pro-Amerika.
Suka kami maklumkan di sini, selepas daripada ini, United States Gayong Federation (USGF - USA) akan berada sebagai pertubuhan bersekutu kepada PSGB yang merupakan induk kepada kumpulan persilatan dari serata dunia dan tidak terhad kepada Amerika Syarikat sahaja. USGF International akan menjadikan PSGB sebagai Pusat rujukan mereka secara amnya.
Harap maklum bahawa perkembangan ini telah di limpah restu oleh Bonda Hajah Siti Fadhillah Bt Meor Rahman - Waris Mutlak Zuriat, di mana setiap langkah yang kami lalui adalah di bawah pengetahuan beliau melalui anakandanya Puan Siti Zubaidah Bt Husin.
Semua AJK Pusat, AJK Negeri dan ahli-ahli USGF Malaysia pula terus diserap masuk ke PSGB sejurus kelulusan penubuhan PSGB diperolehi. Silibus pelajaran Silat Seni Gayong, sistem kenaikan Bengkung dan susunan Sandang Adat Kebesaran Silat Seni Gayong masih diteruskan dan dikekalkan tanpa apa-apa perubahan.
Saya selaku Setiausaha Agung PSGB berasa bangga dan berbesar hati bersama-sama rakan-rakan seperjuangan yang dipimpin oleh Cikgu Sheikh Shamsuddin (Cikgu Sam), Cikgu Sheikh Shamsul dan Cikgu Ridhwan Ramli untuk mengangkat darjat Silat Seni Gayong aliran ADMAR ke peringkat global melalui PSGB ini.
Terima kasih tidak terhingga saya rakamkan di sini kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam membolehkan wujudnya PSGB yang akan mewarnakan lagi dunia persilatan warisan Melayu ini.
Pecah gayong di dalam dulang
Dulang hanyut lautan tujuh
Pecah gayong pepecahan sayang
Di satu masa kembali berteguh
Maka, ini lah masa nya…
HIDUP GAYONG!
SHAHRIZAL MAT HALILI Tarikh: 13hb Okt, 2021
Setiausaha Agung
Pertubuhan Seni Gayong Bersatu
Comments
Post a Comment